Oleh Maiamalina Mohamed Aminmaiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Berkahwin bukan hanya kerana cinta semata-mata sebaliknya perlukan ilmu agama serta pengetahuan untuk membolehkan bahtera rumah tangga yang dilalui tidak goyah, malah suami mahupun isteri faham tanggungjawab masing-masing.
Asas itu sekiranya dipegang semua pasangan berkahwin dapat mengurangkan masalah dalam perkahwinan mereka dan lebih penting kedua-dua pihak mampu mengekalkan kerukunan rumah tangga, selain kekal sayang menyayangi.
Malangnya, Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata tidak ramai pasangan berkahwin zaman ini fasih dengan ilmu yang dituntut dalam perkahwinan.
Katanya, itu menyebabkan mereka cenderung bermasalah, selain terdapat pasangan gagal menyelamatkan perkahwinan gara-gara tidak tahan dan kurang mahir mengenai hukum asas perkahwinan seperti yang dinyatakan syarak.


“Orang sekarang apabila berkahwin dan kemudian pandai membuat perjanjian tertentu seolah-olah perkahwinan tiada nilai kepada mereka, belum lagi kita kira mereka yang berkahwin tapi tidak faham tanggungjawab masing-masing.

“Oleh sebab itu kita kena berbalik kepada hukum perkahwinan yang menyatakan jelas tanggungjawab, tujuan rumah tangga dibina...kembali kepada asal semula seperti dinyatakan dalam Islam kerana semuanya ini panduan kepada kita.
“Jangan kerana hukum menetapkan isteri perlu taat kepada suami dan suami menyalahguna ‘ketaatan’ itu untuk menyuruh lakukan perkara dilarang Islam, isteri pula ikut saja. Itu sudah silap besar, bukan sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sikap suami yang lebih gemar goyang kaki di rumah sambil membiarkan isteri menanggung keluarga.
Metro Ahad semalam melaporkan 15 permohonan fasakh yang diterima firma guaman Peguam Syarie, Datuk Mohd Zaidi Zain setiap bulan, 10 daripadanya memberi alasan suami dayus memaksa isteri menyara keluarga.
Tidak kurang juga kes suami dayus membiarkan isteri melakukan maksiat kerana mereka sendiri sibuk menjalin hubungan dengan wanita lain dan ada juga disebabkan takut isteri.
Dalam satu kes, Mohd Zaidi dilaporkan menyebut seorang suami tergamak mengarahkan isteri melacurkan diri asalkan isteri membawa duit pulang ke rumah. Malah ada ketikanya suami merakam gambar tidak senonoh isteri bersama lelaki lain.
Untuk itu, Noor Aziah mengingatkan pasangan muda yang mahu berkahwin melengkapkan diri dengan ilmu perkahwinan tidak hanya ketika mengikuti kursus sebaliknya berguru daripada pengalaman orang lain.


HARIAN METRO /ISNIN 26 OKTOBER 2009/ SETEMPAT /