62 PETUA AMALAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA
Oleh: Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah


1. Doa yang berterusan
2. Patuh ajaran agama
3. Murah dengan pujian
4. Murah dengan khidmat
5. Murah dengan belaian kasih saying
6. Murah dengan sentuhan
7. Mencari kebaikan pasangan
8. Cari masa berkomunikasi,berbual atau bergurau senda
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan
12. Berfikiran terbuka-boleh tegur-menegur
13. Berani mengambil risiko emosi-tegur/perubahan/berpisah sementara
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan
15. Tolak-ansur
16. Menghormati dan mengambil kira gerak batin(intuition) perempuan
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan
20. Sanggup berkorban buat pasangan
21. Menghormati pasangan
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredhai
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan
27. Meletakkan hak kepada pasangan
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagian
30. Mengawal marah.Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi “menang-menang”
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah
33. Menghormati sifat semulajadi pasangan
34. Memahami peranan pasangan
35. Hubungan pasangan sesama pasangan
36. Jangan simpan ketidakpuasan,sedih,marah atau benci dalam hati
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua sahaja yang tahu
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri
39. Tujuh kali puji dan satu teguran
40. Sebut “I Love You” sepanjang masa
41. Banyakkan bergurau dan bermesra
42. Sentiasa berterus-terang
43. Beri masa untuk perubahan berlaku sabar
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran
45. Elakkan salah pasangan
46. Cari titik pertemuan
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga
48. Lebih banyak member daripada menerima
49. Minta nasihat,pandangan atau maklum balas daripada pasangan
50. Sentiasa bersemangat-bangun tidur,pergi kerja,balik kerja dan sebagainya
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
a. Mental,pendidikan dan ilmu
b. Emosi
c. Fizikal dan ekonomi
d. Sosial
e. Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama(kecuali terpaksa)
53. Tidak terlalu mengongkong
54. Tidak bertindak sendirian
55. Humor atau lawak dari semasa ke semasa
56. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negative
57. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa)
58. Tidak meminta yang bukan-bukan
59. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga
60. Mencari kelainan dan perubahan positif
61. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun
62. Memberi peluang untuk berbeza:
a. Pendapat atau pandangan
b. Hobi
c. Kegemaran
d. Makanan
e. Citarasa
f. Warna pilihan dan pelbagai




TIP KASIH SAYANG DENGAN SUAMI


Susunan Zuhayati Yazid
DALAM perkahwinan, keintiman antara pasangan adalah perkara asas dalam membentuk keharmonian rumah tangga.
Keintiman akan hadir jika kita sama-sama saling mengambil berat dan bertolak ansur antara satu sama lain. Lantas, ia membina kekuatan dan keteguhan dalam sesebuah ikatan perkahwinan.
Selain itu, kepercayaan memainkan peranan penting dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Isteri haruslah mempercayai tentang kebolehan dan usaha pasangan dalam melakukan sesuatu perkara serta jangan menolak pandangan pasangan jika ada rasionalnya.
Biarpun anda dan pasangan masing-masing sibuk dengan tugasan, namun cubalah mencuri masa untuk bersemuka. Setidak-tidaknya berilah masa selama 20 minit untuk bersembang dengannya. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi masing-masing.
Di sini terdapat 15 tip mudah untuk menyatakan "Aku cinta padamu" untuk tujuan mengeratkan lagi hubungan suami isteri walaupun dalam keadaan yang sibuk.
1. Belai pasangan anda dengan ciuman manja sebagai tanda penghargaan diri anda kepada dirinya, malah senyuman juga memain peranan penting dalam meneruskan perjalanan awal untuk mencipta hubungan antara pasangan. Biarkan mata anda berkelip-kelip manja sebagai tanda anda terlalu merindui dirinya.
2. Hangatkan hubungan cinta anda dengan si dia dengan memberi kejutan ciuman di lehernya semasa si dia membuat kerja-kerja di meja komputer ketika sedang berehat di rumah.
3. Sesekali ketika bersantai di rumah bersama si dia, apa salahnya, berikan urutan kepadanya, lagipun bukan untuk orang lain tetapi kepada insan yang kita disayangi. Berikan ciuman romantik atau tunjukkan mesej melalui isyarat badan terhadap si dia.
Pada ketika itu berbual bersama-sama. Biarpun masing-masing sibuk dengan tugasan, cubalah mencuri masa untuk bersemuka dengan berkongsi cerita bersama. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi si dia .
4. Walaupun telah berkahwin dan memiliki anak, tidak salah untuk menyatakan ucapan cinta dan sesekali apa salahnya tinggalkan pesanan ringkas pada si dia, mungkin ia boleh mengimbau kembali zaman percintaan anda suatu ketika dulu.
5. Luahkan kata-kata cinta anda kepada si dia untuk menghangat keintiman hubungan anda.
6. Buktikan kasih sayang anda kepada si dia, tulislah surat dengan menyatakan anda berbangga dengan pencapaian dirinya. Ini kerana kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang lebih-lebih lagi daripada isterinya.
Atau anda boleh menulis kepadanya menyatakan sesuatu tentang kelebihan dirinya. Letakkan ayat-ayat 'cinta ' itu di dalam dompet tangan atau beg kerja untuk memberi kejutan pada dirinya.
7. Buktikan perasaan cinta anda pada si dia, berikan dia satu ciuman romantik diikuti dengan pelukan sebagai tanda penghargaan diri. Setiap pasangan sentiasa inginkan dirinya dibelai dan disayangi.
8. Usah malu dengan si dia, peluklah si dia dengan pelukan erat, luahkan kata-kata cinta kepadanya dan berikan ciuman romantik untuknya.
9. Kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang, lebih-lebih lagi daripada isterinya. Sambil itu si isteri bolehlah menepuk bahu si suami sebagai tanda memuji kehebatan dirinya.
10. Luahkan pada pasangan anda, bahawa anda bangga dengan kehebatan si dia, tunjukkan rasa hormat anda terhadap si dia agar ikatan percintaan menjadi lebih intim.
Sebagai contoh, anda mungkin berkata, ''Anda seorang yang hebat'' atau "Saya sungguh menghargai bagaimana susahnya kerja dalam memberi kesempurnaan kepada keluarga kita".
11. Apabila membeli barang, belikan sesuatu kepada si dia sebagai tanda anda mencintai dirinya.
12. Dapatkan persetujuan bersama ketika membuat keputusan bersama si dia. Kadang-kadang si dia akan berasa marah dan tidak suka sikap si isteri cuba menukar sesuatu jadual mahupun kehendaknya.
Ini boleh membangkitkan kemarahan si dia, dalam hal ini si isteri perlu bersabar dengan kemahuan si dia.
13. Isteri haruslah menunjukkan rasa hormat terhadap suami, jangan sesekali melakukan perkara-perkara negatif, ketika membeli-belah contohnya, cuba dapatkan pandangannya.
Contohnya ketika membeli kad ucapan untuk kad hari jadi, cubalah minta pandangan si dia untuk membuat pilihan. Hal ini akan membuatkan si dia merasakan dia mempunyai hak terhadap diri anda.
14. Ketika masa lapang, gunakan bahan-bahan terbuang untuk melukis bentuk dua keping hati disambungkan bersama dengan nama-nama anda pada hati itu dan menulis "aku cinta padamu" terhadap si dia.
15. Cuba hasilkan sajak-sajak cinta kepada si dia untuk menyatakan isi hati anda.

Utusan Malaysia/17.08.09



TANGGUNGJAWAB DIDIK ANAK

BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.
Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.
Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.
Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.
Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".
Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.
Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.
Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.
Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).
Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)
Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.
Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.
Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.
Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.
Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"
Mengeluh
Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.
Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.
Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."
Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.
Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.
Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.
Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.
Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)
Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?
Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)
Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.
"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."
Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.
Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.
Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."
Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:
Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Mingguan Malaysia/09.08.09


AMALKAN SIKAP MEMBELAI PASANGAN
Oleh ZUHAYATI YAZID

Jadikan pasangan sebagai rakan karib yang boleh berkongsi suka duka yang berlaku pada diri masing-masing.

PERKAHWINAN adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa.
Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.
Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.
Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab, kewangan dan hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga
"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.
''Malah sikap terbuka dalam hubungan termasuk seks amat penting untuk mengekalkan hubungan."
Demikian menurut Perunding Psikologi dan Klinikal dan ahli fakulti Northwestern University Feinberg School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Huang Wei Jen semasa memberi ceramah mengenai keintiman dan kebahagiaan pasangan dalam melayari rumahtangga.
Katanya, masalah intim dapat dilihat menerusi pelbagai aspek. Ia mungkin di sebabkan oleh masalah psikologi, rohaniah dan kebatinan serta tindak balas fizikal yang membuatkan kita memerlukan hubungan intim dalam perhubungan.
Jelasnya, intim di sini bukan bermaksud melakukan hubungan seksual, tetapi cara berinteraksi dan tindak balas dalam sesebuah perhubungan.
''Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.
Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memainkan peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.
"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan," katanya.
Menurut Wei Jen, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang perlu bagi tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.
''Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan semata-mata tetapi suami harus memberi keutamaan dalam perkara yang lain dalam meneruskan bahtera tersebut.
Bercerita tentang tanggungjawab, suami sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga.
Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumahtangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumahtangga.
Katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang psikologi klinikal, dalam melayari sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan supaya sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami dan sentiasa berbincang antara satu sama lain.
Lebih menarik, dalam meneruskan hubungan, sikap membelai-belai antara satu sama lain perlu diamalkan dalam hubungan suami isteri.
Malah pasangan juga digalakkan untuk berterus terang mengenai semua perkara.
''Sememangnya kita tidak mahu badai besar merempuh rumah tangga kita, oleh itu hanya melalui sikap berterus terang dan bersemuka adalah cara yang paling tepat.
''Berterus teranglah dengan pasangan kita, malah jadikan pasangan kita sebagai kawan karib kita yang boleh berkongsi suka dan duka yang berlaku pada diri kita.
''Apa jua krisis yang dihadapi, harungilah sebagai satu unit dan bukan secara individu,'' katanya.
Malah akuinya lagi, buatlah keputusan bersama dalam meneruskan bahtera perkahwinan.
Tambah Wei Jen, prinsip ini pernah memberi impak yang tinggi dalam rumahtangganya sendiri.
Komitmen yang mempersetujui sesuatu keputusan akan memaksa pasangan untuk bercerita secara mendalam dengan pasangan.
Namun jelasnya, ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif adalah punca menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.
''Oleh itu, kurangkan sikap sering bergaduh, saling tidak mempercayai dan salah sangka antara pasangan,'' ujarnya.
"Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.
"Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan.
''Malah dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati.
''Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia,'' tambahnya.
Jelasnya, hanya melalui perkongsiaan bersama, ia mampu menyelesaikan permasalahan.
''Cuba amalkan sebelum tidur, bercerita dan berkongsi dengan pasangan mengenai kejadian yang berlaku pada diri anda hari ini.
''Pastinya ada komen dan juga pandangan antara satu sama lain, malah ia juga boleh menghangatkan lagi perhubungan tersebut,'' akhiri ceramahnya pada hari itu.

Utusan Malaysia/11.08.09


PELUK ANAK SETIAP HARI

MEMBESARKAN anak adalah pengalaman berharga buat mereka yang bergelar ibu bapa. Melalui proses sejak kecil sehingga menuju kedewasaan, orang tua bakal berdepan pelbagai pengalaman.
Kata bijak pandai, acuan yang baik diasaskan ketika anak masih kecil kerana ia bakal menjurus kepada pembentukan seterusnya.
Bahkan, ada yang mengatakan proses pembentukan terbaik adalah ketika masih dalam kandungan kerana di situ bermulanya asas terbaik.
Namun, ramai yang mengeluh kerana sikap anak-anak kini yang di luar kawalan disebabkan pengaruh rakan sebaya yang boleh menggoyahkan disiplin diri.
Justeru, renungkan pelbagai kaedah berikut yang boleh membantu dari segi pembentukan diri anak:
Mulakan hidup anak dengan panggilan nama yang baik. Panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak malu dan berasa rendah diri.
Berikan anak pelukan setiap hari kerana kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan kebijaksanaan minda atau otak yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.
Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang (pandangan ini akan membuatkan anak lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran).
Berikan peneguhan setiap kali anak berbuat kebaikan (berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).
Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan itu membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuk melakukan kesilapan.
Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (ini kerana anak-anak akan terus membesar sedangkan masa terus berlalu dan tidak akan kembali).
Dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, ibu bapa jangan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.
Dengarlah cerita anak kerana cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (ini akan mengajar anak mengenai giliran untuk bercakap).
Tenangkan anak setiap kali mereka memerlukannya.
Tunjukkan kepada anak cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.
Buat sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut hari lahirnya. Sediakan hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak belajar menghargai. (Anak-anak yang lahir daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).
Kemungkinan anak menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan anda mengajar mereka lebih daripada sekali.
Luangkan masa bersama anak di luar rumah, pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan berasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.
Dengar mimpi ngeri anak-anak. Mimpi ngeri mereka begitu realistik dalam dunia mereka.
Hargai permainan kesayangan anak. Pada masa sama, mereka akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Minta kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
Jangan membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.
Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
Terimalah hakikat yang kadangkala anda bukan ibu bapa sempurna. Ini akan mengurangkan tekanan menjadi ibu bapa.

Harian Metro/19.08.2009